Tuesday, July 26, 2005

Balleh, dalam kenangan

Ketika kuberlabuh di dadamu
cemas, resah gelisah bersatu
rumput meninggi dan tepian sungai
tebing tinggi dan lumpur dalam
menyambut ketibaanku
dalam keterasingan itu
kugagahkan langkah
demi janji mendidik anak bangsa.

Teringat kata teman sebelum berangkat
betapa daifnya daerahmu
serba-serbi kekurangan
cuba kupujuk hati ini
mungkin ada hikmah yang menanti.

Ternyata tidak sukar aku menerima dirimu
keindahanmu kedamaianmu
pepohon dan sawah yang menghijau seluas pandangan
dan udara pagi yang berhembus dingin
begitu menenangkan
cukup sebati dalam diri ini
dan di situlah cintaku bersemi.

Namun adakalanya engkau menduga diri
sungaimu kekeringan
hujan tiada
maka terpaksalah kami mengharap air celahan bukit
berebut-rebut mandi dan mengisi botol air
semacam suatu pesta setiap kali tibanya musim el nino.

Kadangkala keadaan menekan kami
apabila generator rosak
atau bekalan minyak lewat sampai
maka sungaimu tempat kami mandi dan mencuci
dalam kepayahan kami masih sempat bergelak ketawa
bersenda gurau bersama teman
alangkah indahnya kenangan itu.

Hujung minggu
bersama teman dan anak-anak murid
naik turun bukit
meredah semak-samun dan sungai
menuju air terjun Sekijang
bermandi riang sambil menangguk ikan dan udang.

Balleh kusayang,
terima kasih
kerana engkau mengajarku erti sabar dan tabah
kaunyalakan semangat dalam diriku
mengharung dugaan hidup
dengan segumpal azam.

Sayangnya
aku terpaksa melangkah pergi
membawa bersama kenangan pahit manis
demi mengejar cita-cita
meningkatkan profesionalisme diri.

Tinggallah Bukit Majau
tinggallah batu karangan indah tepian sungai
Sekijang, Sepanggil dan SMK Balleh
jika diizinkan Tuhan
kupasti akan kembali.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home